Monday, August 2, 2010

POLIS HALANG CERAMAH PAKATAN, 7 DITAHAN!!

Anggota polis, termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menghalang ceramah Pakatan Rakyat diadakan di Batu Pahat malam tadi

Polis menahan tujuh orang ketika menyuraikan orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ucapan

Ceramah anjuran PKR Batu Pahat itu dijadual dihadiri - antara lain - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut ketua penerangan PKR, Latheefa Koya, cabang parti tersebut telah memohon permit untuk mengadakan ceramah itu di tempat lain, tetapi memilih mengadakannya di markaz PAS di situ selepas polis menolak permohonan tersebut "atas sebab-sebab keselamatan".

Ketika orang ramai mula berhimpun untuk mendengar ucapan pemimpin Pakatan, anggota polis tiba dengan menaiki kereta dan trak, termasuk 10 trak FRU.

Selepas meminta ceramah itu diadakan dalam dewan markaz PAS di situ, polis kemudiannya dikatakan mengubah fikiran dan tidak membenarkan ceramah itu diadakan langsung.


Ketika bertindak menyuraikan orang ramai di dalam dewan tersebut, polis menahan tujuh orang - dua daripadanya tidak menghadiri ceramah itu tetapi merupakan peniaga yang membuka gerai di situ - dan dibawa ke balai polis Rengit.

Poster dan kain rentang turut diturun dan dikoyak, manakala alat sistem pembesar suara turut dirampas oleh polis, kata Latheefa.

Pihak markas PAS dan pemilik sistem pembesar suara itu dilaporkan telah membuat laporan ekoran rampasan tersebut serta mendakwa polis "menceroboh kawasan persendirian".

Antara mereka yang ditangkapkan itu, empat daripadanya telah melaporkan dipukul oleh anggota polis.


“Ini adalah penyalahgunaan kuasa yang serius," kata Latheefa ketika dihubungi Malaysiakini.
Media rasmi PAS - Harakah - melaporkan, antara yang hadir di ceramah tersebut ialah timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali dan ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

LIWAT II : ''HUBUNGAN ROMANTIS'' CARI TUMPUAN



Perbicaraan liwat II membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari dengan kehadiran peguam utama pihak pembelaan, - Karpal Singh - yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara.




Walaupun, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur dijadual memberi keterangan dan disoal balas, namun 'hubungan romantis' antara seorang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes liwat ini dengan saksi utama yang juga merupakan pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan dingka mencuri tumpuan

Peguam Anwar mendesak hakim supaya membuang kes ini berdasarkan hubungan timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif yang digugurkan minggu lalu dengan Mohd Saiful.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail minggu lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.

Beliau juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negarA

Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi ini dengan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Selain Karpal, peguamnya yang lain yang turut hadir adalah Param Cumaraswamy dan Sankara Nair.Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.