Thursday, December 31, 2009

KRMD : Di sebalik peruntukan RM18 juta


DONG - Kompleks Rakan Muda Dong (KRMD) mendapat peruntukan sebanyak RM18 juta pada tahun depan untuk kerja-kerja membaiki kerosakan akibat musnah dipukul ribut awal Ogos lalu.Jumlah tersebut hanyalah 'kenyataan lisan' daripada kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Raub, namun masih tiada pengesahan hitam putih daripada kementerian.

Peruntukan yang disediakan itu dianggap sebagai 'berita baik' dan 'bonus' buat seluruh Warga Raub kerana jangkaan kerugian akibat kemusnahan tersebut hanya RM1 juta, tetapi menerima 'sokongan' sebanyak RM18 juta.



Namun, perkara yang paling mustahak perlu diberi perhatian adalah 'ketelusan' daripada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan KRMD kerana kini ia menjadi isu yang hangat sehingga memberi laluan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan.Kompleks yang pada asalnya mendapat peruntukan pembinaan sebanyak RM24 juta terpaksa ditambah lebih RM3 juta lagi disebabkan beberapa faktor yang 'agak mencurigakan'.

Pada awal ogos lalu (iaitu kira-kira empat bulan selepas Tengku Mahkota Pahang merasmikan KRMD), kompleks tersebut ditimpa bencana ribut yang memusnahkan sebahagian besar bangunan sehingga melumpuhkan operasi Jabatan Belia dan Sukan.

Melihatkan kompleks yang belum mencapai usia setahun itu musnah termasuk tiang konkritnya patah, masyarakat di daerah ini meminta penjelasan pihak yang berkaitan.Hanya wakil DAP Raub membuat laporan polis dan laporan BPR untuk menyiasat sekiranya berlaku 'penyelewengan' dalam projek pembinaan KRMD.

Pada ketika ini, masyarakat di daerah Raub 'terbuka mata' dan mempertikaikan tanggungjawab Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin, yang hanya mendiamkan diri.Semasa proses tender KRMD dikeluarkan sehinggalah tersergam indah di atas bukit kini, setiap urusannya 'dicampuri' dan keputusannya lebih 'didominasi' Shahiruddin yang bergelar EXCO Negeri pada ketika itu.

Namun, apabila bencana menimpa kompleks tersebut, di manakah pemimpin itu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat di sini.Lebih membimbangkan penduduk, pembinaan KRMD di atas tanah yang masih berstatuskan 'Warta Hutan Simpan' dan tidak mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) sehingga hari ini.

- Apakah jenis dan bentuk 'emas' yang dicari pada kawasan tersebut sehingga menyebabkan KRMD dibina di situ?
- Apakah nasib penduduk terutama golongan remaja yang menggunakan KRMD sekiranya berlaku bencana pada masa akan datang?
- Mengapa ia dibina di Dong sedangkan seharusnya ia dibina di kawasan bandar yang menjadi tumpuan seluruh masyarakat Raub?

Peruntukan RM18 juta itu tidak berbaloi digunakan untuk membaiki kerosakan KRMD kerana masih tidak memberi jaminan keselamatan NYAWA kepada penggunanya.


Terdapat kesan tanah runtuh dan retakan pada bangunan KRMD (25 Nov 2008)


p/s: Nasib jabatan kerajaan yang terlibat dengan kes sebegini kerana mereka berhadapan dengan 'dilema' hebat apabila tanggungajawab kepada masyarakat sering 'dipolitikkan'. Nampaknya ahli politik lebih berperngaruh berbanding kuasa Kakitangan Kerajaan KUMPULAN A.

No comments:

Post a Comment