Wednesday, January 6, 2010
Permohonan Kebenaran Semakan Kehakiman Anwar Ditolak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menolak kebenaran permohonan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semakan kehakiman terhadap satu kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh seorang pendakwa raya untuk perbicaraan kes liwat beliau. Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Aziah Ali dalam keputusannya berkata, permohonan itu menyusahkan. Beliau menolak permohonan itu dengan kos.
Katanya, beliau setuju dengan penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi bahawa ia penyalah gunaan proses untuk mendapatkan bantuan mahkamah sivil bagi semakan kenyataan bertulis itu dan untuk mengarahkan responden pertama (Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria) mengeluarkan kenyataan bertulis yang baru.:
Beliau berkata, jika permohonan Anwar dibenarkan, bermakna mahkamah sivil :campur tangan dengan bidang kuasa mahkamah jenayah. Pada 3 Ogos 2009, Anwar memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan dan kerajaan sebagai responden.
Hanafiah telah mengeluarkan satu kenyataan bertulis di bawah Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah kepada Anwar, membayangkan bahawa tidak ada fakta yang berpihak kepada pembelaan pada perbicaraan liwatnya.
Kenyataan itu diserahkan kepada Anwar pada 24 Jun 2009. Anwar memohon satu pengisytiharan bahawa kenyataan bertulis yang ditandatangani Mohamad Hanafiah bahawa tidak ada fakta yang berpihak untuk diberikan kepada pembelaan, yang batal dan tidak sah.
Aziah dalam penghakiman 15 muka berkata, penyelesaian boleh diperoleh di mahkamah jenayah itu semasa proses perbicaraan. “Keputusan terakhir sama ada atau tidak terdapat fakta berpihak kepada pemohon atau sama ada dua laporan perubatan berpihak kepada pemohon akan dibuat oleh hakim yang membicarakan,” katanya.
Azizah bertindak bagi responden sementara peguam Edmund Bon mewakili Anwar. Bon kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau menunggu arahan Anwar sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut. - Bernama
sumber dipetik: sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment