Monday, January 4, 2010

Umno Raub: Guru didakwa terbabit politik wang

Seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.


Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua ahli Umno - Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad, masing-masing RM200 - sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai timbalan ketua Umno bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada jam 8 malam, 13 September 2008, lapor Bernama.

Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah. Bagaimanapun peguambela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

Serah pasport

Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment