RAUB, 11 Mac [9.02 am] - Pejuang rakyat yang telah banyak membela nasib para peneroka dan generasi kedua Felda, Mazlan Aliman (foto) yang ditangkap semalam, telah dibawa ke mahkamah untuk didakwa hari ini. Biarpun motif tangkapan masih diragui, namun difahamkan ia berkaitan dengan majlis dialog dan penerangan isu-isu peneroka yang dibuat oleh beliau di Felda Lembah Klau sebelum itu. Mazlan yang merupakan Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) merupakan Exco PAS Pusat dan aktivis rakyat yang telah banyak menyumbangkan jasa dan buah fikiran untuk membuat teguran terhadap penyelewengan dan penindasan yang telah dilakukan oleh Felda mutakhir ini. Dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, Mazlan telah diletakkan sebagai calon di kawasan Parlimen Bera, berikutan kawasan itu mempunyai banyak kawasan Felda. Biarpun beliau merupakan anak peneroka kelahiran negeri Johor, namun kelibatnya telah banyak membantu serta merubah minda peneroka di seluruh negara. Beliau begitu sinonim dengan usaha-usaha untuk membela dan mempertahankan hak-hak peneroka. Penangkapan beliau itu dikatakan berpunca daripada majlis dialog yang diadakan di rumah seorang peneroka di Felda Lembah Klau. Program itu telah dihadiri oleh kira-kira 20 orang peneroka felda berkenaan. Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Haji Badarudin Amiruddin, kira-kira jam 4.15 beberapa orang polis Felda dan pengurus rancangan telah mengepung rumah berkenaan dan mahu menangkapnya. Mazlan memberitahu bahawa beliau tidak patut ditangkap kerana hanya datang mendengar masalah peneroka sambil memberi taklimat dalam rumah tanpa pembesar suara. Beliau kemudian pergi ke Balai Polis Raub untuk membuat laporan mengatakan rasa terhina kerana diperlakukan seperti penjenayah. Rupa-rupanya pihak pengurusan Felda berkenaan telah terlebih dahulu membuat laporan polis. Mazlan kemudiannya ditahan di balai polis berkenaan. Mazlan bakal didakwa dibawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebehi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.00 atau kedua-duanya sekali dibawah Seksyen 445 Kanun yang sama.
[Penangkapan Mazlan Aliman itu merupakan satu pencabulan terhadap hak-hak asasi rakyat untuk mendapat maklumat dalam sebuah negara demokrasi. Beliau bukan mengadakan ceramah umum di tempat terbuka yang memerlukan permit atau sebagainya. Majlis Dialog diadakan di dalam rumah, maka atas alasan apa yang menyebabkan beliau dikepung dan mahu ditangkap umpama penjenayah. Difahamkan, pihak polis yang menangkap Mazlan kini berada dalam kegusaran selepas diberitahu Mazlan adalah Exco PAS Pusat. Tindakan saman khbarnya akan dibuat oleh beberapa orang peguam PAS terhadap Pengurus Felda Lembah Klau yang telah menganggu program dan memalukan Mazlan Aliman. Terbukti pihak pengurusan Felda mula gusar dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh Mazlan tentang berbagai isu kezaliman, penyelewengan dan perbuat khianat yang dilakukan terhadap para peneroka Felda. Oleh itu, seluruh masyarakat Felda diseru terus menyokong dan berdiri teguh dibelakang Mazlan, kerana beliau dilihat begitu serius dan ikhlas untuk membela nasib serta masa depan mereka. Mazlanlah Juara Rakyat sebenarnya dan bukannya beberapa kerat pemimpin UMNO yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mahu melakukan tindakan akibat terpaksa menjaga kepentingan mereka].
SUMBER:PAHANG DAILY
No comments:
Post a Comment