Tuesday, June 29, 2010

Gigit Polis : Tian Chua failkan rayuan hari ini

Ahli parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua akan mengemukakan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang ini.
Perkara itu disahkan oleh seorang daripada peguamnya, Ranjit Singh ketika dihubungi. Beliau mempunyai sehingga 1 Julai untuk membuat permohonan itu.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu yang mengekalkan keputusan bersalah Tian Chua yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret kerana menghalang tugas polis dengan mengiggitnya tetapi mengurangkan dendanya kepada RM2,000.


Keputusan hakim, Datuk Ghazali Cha yang mengurangkan denda daripada RM3,000 dan enam bulan penjara kepada RM2,000 atau dua bulan penjara menimbulkan kontroversi sama ada ahli parlimen Batu itu telah hilang kelayakannya.


Tian Chua didapati bersalah kerana mengiggit seorang konstabel polis ketika ditahan di sebuah protes di bangunan parlimen, tiga tahun lalu.



 Persoalan masih belum terjawab sama ada denda RM2,000 itu menyebabkan pengarah strategik PKR itu hilang kerusinya kerana hakim Ghazali enggan mengkaji semula keputusannya.


Kontroversi timbul berikutan tafsiran Artikel 48, Perlembagaan Persekutuan berhubung istilah denda tidak kurang RM2,000 dan penjara tidak kurang setahun.


Peguam yang mewakili Tian Chua berhujah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung pada 1993, tafsiran itu membawa maksud RM2001.
Bagaimanapun peguam kanan Karpal Singh, bersama bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Ahmad berpendapat tafsiran itu membawa maksud RM2,000.

No comments:

Post a Comment