KUANTAN, 23 Nov - Senario politik di Pahang bakal menggegarkan, bilamana terdapat ura-ura satu angin perubahan akan berlaku dalam masa terdekat ini. Perkhabaran yang diterima daripada puak-puak UMNO Pahang, jelas menggambarkan bahawa kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang sedia ada bakal dirombak penghujung tahun ini. Ada kemungkinan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob (foto), bakal dihantar sekali lagi ke pusat, dan tempatnya akan digantikan oleh pemimpin baru bagi menerajui Pahang. Tindakan ini dikatakan berlaku berasaskan kepada prestasi yang dinilai melalui KPI Najib Razak, selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Sebelum ini memang terdapat laporan bahawa kepimpinan UMNO dibeberapa buah negeri akan ditukar. Ini kerana Najib melihat, banyak kepincangan dan kekurangan yang berlaku bakal menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Maka itulah juga yang berlaku kepada Adnan Yaakob di negeri ini. Selama 12 tahun mentadbir, negeri Pahang senantiasa diambang "kebangkrapan", malah bajet negeri juga tidak pernah keluar daripada istilah "defisit" saban tahun. Maknanya, tidak ada agenda perubahan besar yang dibawa untuk membangunkan negeri ini. Apa yang senantiasa kita dengar ialah kes-kes kehilangan hasil mahsul kerajaan yang dirompak secara "berhemah" oleh kroni-kroni UMNO itu sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku dengan hasil hutan, tanah, bijih besi, emas pertanian dan banyak lagi yang digeladah sesuka hati oleh "lanun-lanun negara" ini. Mereka menggunakan kuasa untuk menghalalkan cara. Mereka fikir, segala khazanah dan kekayaan itu adalah "milik bapak mereka" agaknya. Inilah yang menyebabkan kredibiliti ketua negeri, iaitu MB Pahang sendiri dianggap telah gagal meyakinkan rakyat sebenarnya.
Terdapat desas-desus mengatakan nasib Adnan akan menjadi seperti Maznah Mazlan, yang dihantar ke pusat dan kini bergelar Timbalan Menteri. Ketika itu Maznah masih menawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Pahang yang menjaga hal ehwal pelancongan. Nasib Adnan bakal ditentukan oleh Najib Razak sekarang ini. Najib dikatakan mahu menempatkan proksi beliau untuk menaerajui UMNO dan pentadbiran kerajaan negeri Pahang. Antara nama-nama yang disebut bakal menggantikan Adnan ialah Sharkar Shamsuddin (ADUN Lanchang), Shafik Fauzan (ADUN Inderapura), Soffi Razak (Benta) dan Ishak Mohamad (ADUN Bebar). Mereka semua ini dikatakan menjadi perhatian Najib, sekiranya Adnan dihantar ke pusat. Ceritera Adnan dihantar ke pusat sebenarnya memang sudah lama berlaku di Pahang. Malah, setiap kali musim pilihanraya umum pasti desas-desus ini akan terpacul dari mulut pemimpin UMNO sendiri. Namun, hasrat untuk melihat "adengan" itu tidak kesampaian, bilamana Adnan masih terus kekal sebagai pemimpin UMNO Pahang dalam keadaan negeri yang aman dan makmur ini senantiasa dirundung malang dengan masalah hutang piutang. Malah, lebih teruk lagi, Adnan selaku pemimpin UMNO negeri juga telah dikenakan berbagai saman oleh pihak tertentu hingga mencecah ratusan juta ringgit. Rakyat melihat dan menilai ini semua. Pemimpin yang bagus ialah pemimpin yang bukan sahaja pandai mentadbir, malah menjaga hati rakyat. Adnan masih selamat kerana hubungan rapat beliau dengan "pihak istana". Beliau pandai menjaga keharmonian dan keakhrabannya dengan istana, justeru itulah nasibnya masih lagi selamat. Walhal, jika dinilai dari sudut prestasi pemimpin itu sendiri maka sememangnya beliau sudah tidak layak lagi untuk bergelar MB Pahang.
[Soalnya sekarang, apakah angin perubahan yang diperkatakan ini benar-benar akan berlaku sebelum pilihanraya umum ke-13 nanti. Apakah Najib akan menggunakan kuasanya bagi menuakrkan Adnan berasaskan kepada KPI itu sendiri. Sebelum ini Najib berbangga menggunakan kuasa untuk melantik mantan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai Menteri. Kini apakah beliau akan lakukan perkara yang sama terhadap Adnan Yaakob. Semua ini bakal terjawab menjelang akhir tahun 2009 ini. Apapun yang terjadi, bagi rakyat Pahang ini siapa sahaja yang memerintah selagi bernaung dibawah kerajaan UMNO dan Barisan Nasional maka dasar dan pentadbirannya adalah tetap sama. Mereka hanya akan melayan puak-puak mereka dalam apa jua bentuk tindakan sekali pun hatta untuk memohon peruntukan rumah rakyat termiskin atau memohon biasiswa. Dasar inilah yang menyebakan rakyat Pahang semakin takut dan benci kepada UMNO BN].
Sumber:Pahang Daily

No comments:
Post a Comment