ROMPIN 12 Jan. - Seramai 890 pesawah di empat kampung di sini merayu kerajaan negeri supaya menyegerakan pemberian geran hak milik tanah demi masa depan mereka.
Pesawah terbabit merupakan penduduk Kampung Setajam, Kampung Kurnia, Kampung Lantang dan Kampung Pianggu yang dianggap sebagai 'jelapang padi' bagi daerah ini.
Mereka mendakwa, kerajaan negeri pernah berjanji untuk menyerahkan geran tanah kepada pesawah terbabit pada April lalu tetapi sehingga kini, janji itu masih belum ditunaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pesawah Paya Setajam, Md. Salleh Md. Din, 59, menegaskan, kesemua pesawah terbabit merupakan generasi pertama yang meneroka kawasan hutan di situ sebelum dimajukan dengan tanaman padi pada 1977.
Beliau berkata, peneroka terbabit yang berasal dari Kedah, sanggup berhijrah dan mengerah tulang empat kerat untuk meneroka kawasan tersebut semata-mata menyahut seruan kerajaan ketika itu yang mahu menggalakkan penanaman padi di Pahang.
Jelasnya, selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan pembukaan tanah itu pada 1978, pesawah terbabit berjaya memajukan tanaman padi di kawasan tersebut sehingga mendapat jolokan 'jelapang padi' bagi daerah ini.
"Bagaimanapun, sehingga kini setelah menanti lebih 30 tahun, pesawah masih belum diberikan geran milik tanah walaupun kerajaan negeri berjanji hampir setiap tahun untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai 100 pesawah mengadakan piket secara aman di kawasan sawah mereka bagi merayu kerajaan negeri meluluskan permohonan tersebut.
Md. Salleh mendakwa, pesawah terbabit semakin menaruh harapan untuk mendapatkan geran hak milik tanah selepas Sultan Pahang sendiri memberi perkenan April lalu dan mengarahkan kerajaan negeri menyerahkan geran tersebut dalam tempoh dua bulan.
Bagaimanapun, katanya, apa yang mendukacitakan mereka ialah sehingga kini arahan Sultan Pahang itu masih gagal dipenuhi oleh kerajaan negeri.
Sehubungan itu katanya, pesawah terbabit akan menyerahkan satu memorandum berhubung permohonan mereka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dalam waktu terdekat selain mungkin mengambil tindakan mahkamah sekiranya perlu.
Seorang pesawah, Mohd. Zuki Ishak, 54, pula mendakwa, selain tidak diberikan geran hak milik tanah, ada pesawah yang berdepan dengan tindakan penyelewengan apabila tanah sawah mereka diberikan kepada orang lain.
"Saya sendiri menjadi mangsa apabila geran hak milik sementara tanah (TOL) yang saya usahakan, diberikan kepada seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian daerah," dakwanya yang mengusahakan 2.4 hektar sawah di kawasan itu sejak 1977.
Menurutnya, kegagalan pesawah memperoleh TOL turut menyebabkan nama mereka digugurkan daripada senarai penerima subsidi seperti baja, benih dan harga padi.
Seorang ibu tunggal, Rosnila Ismail, 44, pula berkata, dia sangat mengharapkan kerajaan negeri memberikan geran hak milik ke atas tanah seluas 2.4 hektar yang diwarisi daripada arwah bapa dan suaminya sebagai jaminan masa depan lima anaknya.
"Tanah ini sahajalah harta yang kami ada untuk dijadikan pusaka dan sumber pendapatan bagi menjamin kehidupan akan datang," katanya.
sumber dipetik: wartamaya

No comments:
Post a Comment