PKR perkukuh parti lantik jawatankuasa Biro Felda
RAUB – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan mesyuarat bagi menubuhkan jawatankuasa Biro Felda Zon Pahang Barat bagi memperkukuhkan lagi perjuangan parti itu. Seramai 50 wakil dari setiap cabang (cawangan) hadir menjayakan mesyuarat yang dirasmikan Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Mohd Nor Jaafar.
Ketua PKR Raub yang juga Pengerusi Biro Felda Zon Pahang Barat, Mohd Ali Wahid berkata, mesyuarat diadakan bagi tujuan memperkukuhkan lagi biro tersebut yang diwakili daerah Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands. Menurutnya, pelbagai perkara juga dibincangkan sebagai persiapan menghadapi Konvensyen Biro Felda pada 20 Februari tahun depan di Jerantut. “Semua ahli jawatankuasa yang dilantik berikrar membuat gerak gempur ke semua kawasan Felda seluruh negara untuk memberi penerangan berkaitan isu semasa Felda. “Kawasan Felda juga menjadi sasaran perjuangan PKR untuk menegakkan keadilan peneroka agar mereka mengetahui hak dan keperluan yang seharusnya diperolehi,” katanya ketika ditemui di sini. Turut hadir Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal Negeri, Suhaimi Said dan beberapa pimpinan peringkat negeri.
Mohd Ali berkata, semua jentera PKR perlu bekerja keras memastikan perjuangan parti sentiasa mantap dan dipertingkatkan dari masa ke semasa sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Menurutnya, pemilihan ahli jawatankuasa Biro Felda ini juga diharap dapat memperkuatkan lagi usaha perjuangan parti untuk giat bertindak lebih sistematik ke kawasan-kawasan lebih spesifik. “Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa yang dilantik dan diharap dapat memberikan sepenuh kerjasama dalam usaha mengukuhkan perjuangan parti. “Semua ahli dan jentera PKR juga diharap dapat memberikan kerjasama terhadap wakil pimpinan yang dilantik dalam jawatankuasa ini agar semua pihak dapat menyumbang tenaga dan peranan dalam parti yang memperjuangkan keadilan rakyat ini,” kata Mohd Ali.
Dipetik dari : http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story5982593.asp

No comments:
Post a Comment