Wednesday, November 18, 2009

Cuepacs gesa serap khidmat 60,000 pekerja kontrak


SEREMBAN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa lebih 60,000 pekerja kontrak di negara ini diserapkan dalam jabatan kerajaan. Pengerusinya, Omar Osman berkata, ia bagi menjamin masa depan mereka terus terbela. Katanya, tindakan jabatan kerajaan menamatkan penyambungan kerja terhadap pekerja kontraknya adalah satu tindakan tidak wajar, malah ia tidak sepatutnya berlaku. “Kita menyeru agar 60,000 pekerja kontrak di negara yang kini terumbang-ambing status kerjanya, diserapkan terus secara berperingkat. “Ini penting bagi membolehkan mereka (pekerja kontrak) menjalankan kerja dengan lebih selesa tanpa sebarang kebimbangan mengenai status jawatannya dalam sesuatu jabatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Pencegahan Rasuah dan Pemantapan Intergriti Perkhidmatan Awam, di sini, semalam.

Katanya, beliau tidak setuju dengan kenyataan mengaitkan prestasi pekerja kontrak ini tidak memuaskan menyebabkan kontrak mereka tidak disambung. “Jika prestasi mereka ini tidak memuaskan, bagaimana mereka boleh berkhidmat secara kontrak selama lebih 10 hingga 20 tahun yang lalu? Mengapa baru sekarang perkara ini dibangkitkan? “Mengapa dalam tempoh dua tahun dulu tidak dibatalkan terus, mengapa perlu tunggu sehingga 10 atau 20 tahun? malah ada yang telah berkeluarga dan ditamatkan kontraknya? Omar berkata, konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dapat membantu nasib pekerja kontrak di negara kita ini, sekali gus menjamin kedudukan kerja mereka pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment